Tiang Mengenali Diri
Penyaksian Kerohanian (Musyahadah):
Syuhud adalah teras kepada
maqam Ihsan, iaitu keadaan di mana seseorang menyembah Allah seolah-olah dia
melihat-Nya. Ia bukan penglihatan mata kasar, tetapi keyakinan hati yang sangat
mendalam sehingga dunia seolah-olah lenyap dan yang tinggal hanyalah kesedaran
terhadap penciptaan dan kekuasaan Allah.
Wahdatul Syuhud (Kesatuan Penyaksian):
Ini adalah satu tahap
kerohanian yang tinggi di mana seorang sufi mengalami "fana" (lenyap kesedaran
diri). Pada tahap ini, dia tidak lagi "melihat" kewujudan makhluk lain,
melainkan hanya melihat Allah sebagai satu-satunya kewujudan yang hakiki. Perlu
dibezakan bahawa Wahdatul Syuhud (hanya nampak Allah di hati) dianggap lebih
selamat dan diterima oleh ramai ulama berbanding Wahdatul Wujud (menyatukan zat
Allah dengan makhluk).
Syuhud al-Wahdah fil Kathrah:
Bermaksud "melihat yang satu (Allah) dalam yang banyak (makhluk)". Seseorang itu
sedar bahawa walaupun terdapat pelbagai rupa dan bentuk di alam ini, semuanya
adalah kesan daripada perbuatan dan kehendak Allah yang Satu. Secara praktikal,
orang yang memiliki syuhud akan sentiasa merasa diawasi oleh Allah (muraqabah)
dan melihat setiap nikmat atau ujian sebagai datangnya terus daripada tangan
Tuhan, bukan sekadar kebetulan alamiah semata-mata.
TIANG MENGENALI DIRI
وَإِذْ
أَخَذَ رَبُّكَ مِن بَنِي آدَمَ مِن ظُهُورِهِمْ ذُرِّيَّتَهُمْ وَأَشْهَدَهُمْ
عَلَىٰ أَنفُسِهِمْ أَلَسْتُ بِرَبِّكُمْ ۖ قَالُوا بَلَىٰ ۛ شَهِدْنَا ۛ أَن
تَقُولُوا يَوْمَ الْقِيَامَةِ إِنَّا كُنَّا عَنْ هَـٰذَا غَافِلِينَ
Dan ketika
Tuhanmu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam dari sulbi mereka dan Allah
mengambil kesaksian terhadap jiwa-jiwa mereka:
"Bukankah Aku ini Rabb-mu?"
Mereka menjawab: "Betul, sungguh kami bersaksi". (Kami lakukan yang demikian
itu) agar di hari kiamat kamu tidak mengatakan: "Sesungguhnya kami adalah
orang-orang yang tidak ingat terhadap ini."
(Surah Al-A’raaf 7:172)
Dalam ilmu
Hakikat dan Tasawuf, Tiang Mengenal Diri ini adalah neraca untuk membedah
kewujudan hamba sehingga benar-benar "lebur" di hadapan Allah. Ia adalah lima
tangga kesedaran yang membezakan antara orang yang hanya bersolat dengan orang
yang benar-benar mengenal siapa yang menyembah dan siapa yang disembah.
Imam
Yahya bin Muadz Ar-Razi Berkata :
مَنْ عَرَفَ نَفْسَهُ فَقَدْ عَرَفَ رَبَّه
Siapa yang mengenal dirinya (lemah, hina, fakir,miskin,tiada apa-apa), maka dia
akan mengenal Tuhannya (Af'al, Sifat, Asma dan Segala-galanya).
1. Lemah (Dhaif)
وَخُلِقَ الْإِنسَانُ ضَعِيفًا [النساء : 28]
Bermaksud : "dan manusia
itu dijadikan bersifat lemah." Lawan kepada Kudrat (Kuasa) Allah. Rasanya: Kita
sedar bahawa diri ini sehelai bulu pun tidak mampu digerakkan tanpa izin-Nya.
Solat yang kita buat bukan kerana kita kuat, tetapi kerana "digerakkan".
Fungsi:
Membunuh sifat Sombong dan Rasa Berkuasa.
2. Hina (Az-Zul)
ثُمَّ جَعَلَ
نَسْلَهُ مِن سُلَالَةٍ مِّن مَّاءٍ مَّهِين
[السجدة : 8]
Bermaksud : Kemudian
Ia menjadikan keturunan manusia itu dari sejenis pati, iaitu dari air (benih)
yang sedikit dipandang orang.
Lawan kepada Izzah (Kemuliaan) Allah.
Rasanya:
Kita sedar asal kejadian kita daripada air yang hina dan tanah yang dipijak.
Tiada kemuliaan pada diri melainkan apa yang Allah tutup (aib).
Fungsi: Membunuh
sifat Ujub (Bangga diri) dan Gila Hormat.
3. Fakir (Al-Faqru)
يَا أَيُّهَا
النَّاسُ أَنتُمُ الْفُقَرَاءُ إِلَى اللَّهِ ۖ وَاللَّهُ هُوَ الْغَنِيُّ
الْحَمِيدُ
(Surah Fatir 35:15)
(Yā ayyuhan-nāsu antumul-fuqarā'u ilallāh,
wallāhu huwal-ghaniyyul-hamīd)
Maksud:
"Wahai umat manusia, kamulah yang
memerlukan (faqir) kepada Allah (dalam segala perkara), sedang Allah Dia lah
Yang Maha Kaya, lagi Maha Terpuji."
Lawan kepada Ghani (Kekayaan/Kecukupan)
Allah.
Rasanya: Merasa berhajat kepada Allah dalam setiap nafas. Bukan sahaja
berhajat pada wang, tetapi berhajat pada hidayat dan taufiq untuk sujud.
Fungsi:
Membunuh sifat Tamak dan Cinta Dunia.
4. Miskin
وَوَجَدَكَ عَائِلًا فَأَغْنَ
[الضحى : 8]
Bermaksud :
Dan didapatiNya engkau miskin, lalu Ia memberikan
kekayaan?
Lawan kepada Milik Allah yang Mutlak.
Rasanya: Sedar bahawa kita tidak
memiliki apa-apa, bahkan tubuh badan, anak isteri, dan amalan kita adalah
"pinjaman" semata-mata. Kita hanya "pemegang amanah" yang kosong tangan.
Fungsi:
Membunuh sifat Bakhil (Kedekut) dan Rasa Memiliki.
5. Tiada (Laisa bi Syai'/Fana)
هَلْ أَتَىٰ عَلَى الْإِنسَانِ حِينٌ مِّنَ الدَّهْرِ لَمْ يَكُن شَيْئًا
مَّذْكُورًا
Maksud :
"Bukankah telah datang atas manusia satu ketika daripada masa,
sedang ia (ketika itu) belum menjadi sesuatu yang dapat disebut-sebut?" (Surah
Al-Insan 76:1)
Lawan kepada Wujud Allah.
Rasanya: Inilah kemuncak mengenal diri.
Sedar bahawa hakikatnya diri ini "tiada" sebelum diciptakan, dan akan "tiada"
selepas dimatikan. Yang benar-benar "Ada" hanyalah Allah.
Fungsi: Membunuh sifat
Ananiyah (Keakuan). Apabila rasa "Aku" sudah tiada, maka maksiat pun tiada
kerana subjek yang ingin bermaksiat itu sudah lebur.



Ulasan
Catat Ulasan