Nasihat Perihal Hawa Nafsu Pada Fajar Istimewa Oleh Habib Umar Bin Hafidz
![]() |
| Habib Umar Bin Hafidz Menjelaskan Petikan Kitab Hikam Yang DiSyarahkan Oleh Imam Abdullah Al Haddad |
1) Orang yang redha dengan menunda untuk melakukan amalan kebaikan, dia akan terlepas dari banyak kebaikan, kerana dia tidak mengambil azam tersebut dengan sifat yang bersungguh-sungguh.
2) Kita diajak untuk bersungguh-sungguh untuk mengamalkan perkara baik yang telah diazamkan dan tidak terbiasa untuk menuruti hawa nafsu yang tidak baik. Di mana jika kita memenuhi kehendak hawa nafsu tersebut, hawa nafsu akan meminta kepada kita untuk memenuhi kehendak yang tidak baik , yang lebih besar pula.
3) Namun jangan tertipu dengan azam kebaikan yang mungkin ditanam oleh hawa nafsu. Di mana azam yang ditanamkan itu tidak mampu untuk diamalkan. Kerana syaitan berhasrat agar diri kita tidak beramal. Tidak mampu beramal kerana apa yang diamalkan terlalu berat dan diri kita tidak mampu mengamalkannya.
TANDA AMAL YANG MENGUNTUNGKAN
Al Habib Muhammad bin Abdullah Alaydrus pernah mengatakan bahawa setiap amal yang ingin dilakukan seseorang, bilamana terhimpun padanya 3 perkara, maka amalan itu adalah yang berjaya dan menguntungkan.
1) Ikhlas kerana Allah SWT.
2) Memberikan kepada amal yang ingin dilakukan itu keazaman dengan segala yang dia mampu dan miliki, dan juga semangat untuk melakukannya.
3) Menyerahkan segalanya kepada Allah SWT, agar Allah dapat membantu kepadanya mencapai apa yang diazamkan dan tidak bergantung kepada selain Allah.
Berkata Al-Habib Umar bin Hafidz
Ahli makrifat memahamkan kepada kita bahawa seseorang yang meningkat tinggi dalam perjalanan menuju Allah hendaklah tidak terlalu agresif untuk memaksa dirinya dalam pertarungan hawa nafsunya, bahkan hendaklah secara bijak mengendalikan hawa nafsu tersebut, jika tidak hatinya boleh menjadi buta (bosan dan muak) kerana kejutan tersebut.
Seandainya ada perkara yang boleh merehatkan nafsu tersebut dari keletihan bermujahadah melawan nafsu, maka perkara tersebut diperbolehkan selagi mana ianya tidak haram disisi syariat. Hal demikian dilakukan adalah bagi memberi ruang kepada hatinya untuk menguatkan perasaan kehadiran dengan Allah(hudhur) dan perasaan kebersamaanNya(mai'yyah).
Meskipun begitu, untuk orang yang baru saja bermula perjalanan rohaninya(al-mubtadi) hendaklah dia memiliki azam yang jitu dan semangat yang tinggi dalam menekan hawa nafsunya. Kerana tanpa semangat yang kuat dalam melawan hawa nafsunya, maka dia akan terperdaya dan terbuai dengan godaan hawa nafsunya untuk memuaskannya dari satu perkara yang kecil kepada perkara yang lebih buruk.
Lalu jika seseorang memiliki pembimbing rohani, maka panduan dalam menambahkan amalan-amalan dengan lebih banyak adalah berdasarkan bimbingan guru tersebut agar pengembara menuju Allah meniti fasa demi fasa, peringkat demi peringkat dalam keterbukaan mata hatinya(basirah) dan tersingkapnya hijab-hijab hati(raf'ul hujub).



Ulasan
Catat Ulasan