MINA YANG MENGAJAR KELAPANGAN HATI
Alhamdulillah.... tiga hari mabit di Mina telah pun berakhir semalam 13 Zulhijjah. Bagi yang Nafar Awal, mereka telah mengakhir sehari lebih awal. Sebaik sampai di Makkah semalam, kebanyakan jemaah menyempurnakan tawaf haji dan sai haji, rangkaian proses menyempurnakan ibadah membolehkan tahallul thani. Sejak semalam... memang keadan Kaabah dan tempat sai agak padat sehingga pagi ini.
.
Tiga hari mabit di Minan memang meninggalkan kesan yang mendalam. Mina hamparan perkemahan di atas padang pasir yang panjangnya sekitar 3,5 km, terletak di kawasan berbukit-bukit antara kota Makkah dan Muzdalifah. Dengan peningkatan jumlah penduduk dan pembesaran kota Makkah, kedua tempat ini seakan hampir bersambung.
.
Mina adalah bahagian tanah haram Makkah yang dikunjungi selama 3 atau 4 hari oleh seluruh jemaah haji. Ada yang datang 8 Zulhijjah. Mereka tinggal di sini untuk mabit sehari semalam penuh sehingga dapat melakukan solat Zuhur, Asar, Maghrib, Isya dan Subuh. Setelah solat Subuh 9 Zulhijjah mereka berangkat ke Arafah untuk wuquf pada siang hari dan malamnya kembali ke Muzdhalifah dan Mina serta tinggal di sini sampai 12 atau 13 Zulhijjah.
.
Agar mendapat tempat yang dekat untuk melontar jumrah, maka bermalam di Mina merupakan satu kemestian bagi jemaah haji. Dua atau tiga malam mabit dan melontar, termasuk wajib haji. Dan jemaah haji Malaysia rata-rata tiga malam di sini selepas mabit di Musdhalifah dan selesai wuquf di Arafah.
.
Kerana menjadi kawasan yang diperuntukan khusus salah satu pelaksanaan ibadah haji, maka kawasan ini diharamkan untuk dimiliki oleh persendirian. Seperti diutarakan oleh Aisyah, ‘Ya Rasulullah, perlukah kami buatkan rumah di Mina untuk berteduh ? Rasulullah SAW menjawab, ‘Jangan ! Sesungguhnya Mina adalah tempat duduk orang yang lebih dahulu datang’.
.
Mina mempunyai keistimewaan yang akan dirasakan oleh setiap jemaah haji... tentang keupayaannya menampung berjuta juta jemaah haji yang berkampung di sini untuk melontar jumrah. Keistimewaan atau lebih tepat disebut keajaiban. Ajaib, kerana selalu menjadi lebih luas secara automatik seumpama rahim seorang ibu hamil. Saya pernah mebaca satu nukilan yang memetik sabda Rasulullah SAW yang bermaksud; ‘Sesungguhnya Mina itu seperti rahim, yang mana ketika berlaku kehamilan, diluaskan oleh Allah SWT’.
.
Walaupun saya tidak pasti status hadis tersebut, tetapi yang pasti kita merasakan kebenarannya. Bayangkan... sebenarnya penambahan jumlah jemaah haji Malaysia hampir dua kali ganda tahun ini. Walaupun yang diumumkan secara rasmi 30200 orang, tetapi semasa di Arafah, Pengerusi Tabung Haji (TH) menyebut pada kami warga media, jumlah keseluruhan jemaah haji dari Malaysia sebenarnya adalah 42000 orang.
.
Dilema pengurusan tentu dirasakan oleh Tabung Haji. Tetapi menurut seorang pengurusan tertinggi TH yang saya kenali, mereka tetap mengambil tanggung jawab menguruskannya. Kerana dengan penambahan jumlah atau koata haji ini... boleh mengurangkan tempoh menunggu yang kini menjangkau 104 tahun di Malaysia.
.
Jadi kalaulah keadaan di perkemahan atau maktab-maktab haji Malaysia agak sesak... boleh difahami sebabnya. Dengan keluasan yang sama kerana telah ditentukan oleh syariat, tetapi jumlah jemaah atau penggunanya meningkat hampir sekali ganda. Namun seperti yang dinyatakan di atas, Mina memang ajaib. Dia dapat menampung keseluruhan jemaah... sehinggalah berakhir 3 hari mabit di sini.
.
Kelapangan yang paling dirasakan selama di sini adalah kelapangan hati para jemaahnya. Bayangkan dalam sebuah khemah yang kecil yang menempat lebih seratus orang jemaah, situasinya lebih dari sardin. Tapi wajah penghuninya tetapi ceria. Di khemah yang kecil itulah tempat rehat, tempat makan dan juga solat berjemaah.
.
Bila saya tanya dengan rakan-rakan sahabat Maktab TH apa rasional pihak muasasah (penguasa khemah adalah orang Arab) membahagikan tempat dengan jumlah penghuni seramai ini pada setiap khemah, jawabnya... berbarislah seperti kedudukan kita seperti saf solat. Jika ingin rehat... lalu berbaringlah seperti saf itu. Mungkin kerana ada khemah yang dirasakan sempit atau tidak sanggup terlalu padat... ada yang beralah tidur di luar kemah, di lorong pejalan kaki. Itu luar biasa...
.
Tiga hari di sini... serba serbi perlu dikongsi. Jangankan penggunaan tandas, ambil air panas di pagi hari saja kita perlu beratur panjang. Tapi semua melaluinya dengan wajah ceria. Bila ramai, ada yang menghadapi kecemasan. Contoh masa beratur panjang di depan tandas, ada yang tak tahan atau sakit perut, yang lain memberi laluan dengan senang hati. Betul kata orang tua-tua, bila hati senang... tempat yang sempit terasa lapang.
.
Sungguh tiga hari di sini mengajar erti kelapangan hati. Dalam keseharian kita sebenarnya banyak masalah timbul kerana tercabutnya kelapangan hati. Kita tdak suka melihat orang lain senang kerana luputnya kelapangan hati. Kita tidak dapat menerima kekurangan pasangan atau orang lain... kerana tercabutnya kelapangan hati. Kita tidak dapat menerima perbezaan... kerana runtuhnya kelapangan hati. Kita tidak mampu memaafkan orang lain... kerana terhakisnya kelapangan hati.
.
Tiga hari di Minan terzahir ke kelapangan hati kerana kita sedar perkhemahan 3 hari di sini hanyalah tempat sementara. Pada masa masa yang sama masing-masing sedar punya misi yang sama, untuk menyempurnakan kewajiban melontar atau menyempurnakan ibadah haji. Sedar berada di persinggahan sementara dan sedang beribadah pada-Nya... ternyata mampu melapangkan hati... kerana ingin membuat yang terbaik di sisi-Nya.
.
Sesungguhnya kehidupan dunia yang sedang kita lalui... hakikat persinggahan sementara dalam satu proses ibadah kerana...tidak dijadikan jin dan manusia kecuali untuk mengabdi pada-Nya. Dan setiap kita akan mempersembahkan pengabdian yang terbaik pada-Nya.
.
Perkhemahan tiga hari yang menghidupkan hati... mengajar persaudaraan dan kelapangan hati untuk menjalani usia yang masih berbaki. Kami datang memenuhi panggilan-Mu ya Rabb. Tidak ada sekutu bagi-Mu. Sesungguhnya segala puji, nikmat dan kerajaan adalah milik-Mu... tidak ada sekutu bagi-Mu.




Ulasan
Catat Ulasan