KISAH INSPIRASI 4 : MUNGKIN AKU TERTAHAN KERANA DOA DIA...



Seawal pagi lagi aku bangun. Qiam dan bersiap untuk ke KLIA.  Aku akan berdakwah di Kundasang, Sabah. Bersemangat. Sahabat yang ingin membantu membawa ke Lapangan Terbang tiba tepat di hadapan rumah jam 5.30 pagi.

Alhamdulillah semuanya bergerak seperti yang dirancang. Solat Subuh berjemaah di stesyen minyak dan terus bersarapan. Tiba di KLIA jam 6.45 pagi dan terus menunggu sahabat-sahabat yang untuk bersama ke sana.

Seperti yang difahami aku hanya menanti untuk mereka datang. Menurut mereka paling lewat jam 8 pagi kerana penerbangan ke Kota Kinabalu jam 9.15 pagi. Dua kali panggilan dibuat dan mereka telah dalam perjalanan. Alhamdulillah. 

Setelah sejam lebih menunggu masih tidak ada kelibat mereka. Setelah mencari agak kira-kira 15 minit....akhirnya aku buat keputusan untuk check in. Malang, kaunter check in ditutup kerana semuanya telah check in secara personal melalui kiosk...itu pun telah ditutup.

Lalu bekerjalah aku untuk mendapat penerbangan seterusnya. Sebelum itu sempat aku menalipon sahabat-sahabat... untuk mengetahui apa sebenarnya berlaku?

Rupa-rupanya mereka telah lama check in dan sudah bersiap untuk memasuki kapal terbang.  Sah, berlaku kesilapan dalam berkomunikasi. Aku menanti di luar, mereka menanti di dalam.

Aku cuba untuk mendapat penerbangan seterusnya, jam 10.10 am tetapi terpaksa melalui saringan 'senarai menunggu'. Aku menunggu penuh debaran dan harapan.

Tiba-tiba masuk seorang lelaki tua berkopiah hitam. Mukanya bersih, tenang tetapi kelihatannya sedang menunggu sesuatu. Lalu aku memberi salam, bersalam dan bertanya,  "tertinggal kapal terbang?"

"Ya, abang dari Melaka...hendak ke Jakarta penerbangan jam 9.15 am tadi tetapi ada halangan di perjalanan. Tidak sempat check in."

"Oh, kita senasib. Saya pun tidak dapat check in dan sedang menunggu untuk penerbangan yang seterusnya," balas ku sambil tersenyum sambil menjeling nombor di kaunter, ada 9 orang lagi. Sempatkah?  Bisik hatiku mula risau.

Oleh kerana ini kali pertama aku tertinggal kapal terbang dan kali pertama juga berurusan untuk mendapat penerbangan seterusnya,  aku bertanya kepadanya untuk mendapat sedikit maklumat. Mana tahu abang ini biasa berdepan dengan situasi begitu.

"Saya sudah berurusan tadi untuk dapat penerbangan seterusnya ke Jakarta, " kata, "tapi perlu bayar penalti. Harga tiket baru rm 800. Tapi kalau bayar  penalti lebih kurang rm 200... (lebih, tapi aku tidak ingat lebihannya). "

"Sudah ke kaunter kenapa tidak berurusan terus tadi? Takut terlewat," kataku. Cemas juga sekiranya abang yang telah berusia ini terlewat. Bagaimana dia hendak berlari dan mengejar sampai ke pintu di dalam jika berjaya mendapat tiket pada saat-saat akhir.

"Dia pun menunjuk pasport dan semua wangnya. Saya tidak cukup wang lagi rm 48 untuk bayar penalti. Saya mohon sangat dikurangkan tadi, tapi tidak berjaya...Ini sahaja duit yang ada, tetapi jika sampai di Airport Jakarta, ada saudara yang menunggu."

"Abang menunggu di sini untuk?" Suara tertahan,  kekurangan ayat untuk meneruskan. Perlu bahasa rasa, tetapi aku tidak menemuinya.

"Abang menunggu...dan berdoa. Allah tentu ada cara untuk menolong hambaNya...."

Tanpa berfikir terus aku berikan wang yang diperlukan lalu berkata cepat,  "bang...segera ke kaunter tadi. Mudah-mudahan abang masih sempat."

Setelah mengucapkan terima kasih dan bersalaman dia terus bergerak dengan cepat.  Ya Allah, permudahkanlah urusannya.

Alhamdulillah akhirnya nombor ku tertayang di skrin dan aku segera menerpa ke kaunter.
"Maaf, penerbangan ke Kota Kinabalu telah penuh. Penerbangan seterusnya jam 12.45 tengahari..."
Aku seakan mahu tersepak duduk.

Mana mungkin jam 12.45 ke sana,  ke Kundasang ambil masa lebih kurang 2 jam. Kuliah dijangka bermula jam 3 petang dan berakhir jam 4.30. Kemudian perlu kembali ke Kota Kinabalu dan mengambil penerbangan jam 10 malam untuk kembali ke KL. Esok pagi sebelum Subuh perlu keluar dari rumah untuk program yang bermula jam 9 pagi.

Akhirnya, aku pasrah. Aku tertahan di KL. Tidak tahu apakah hikmahnya. Tetapi mesti ada. Mungkin ini pelajaran supaya lebih teliti dan berhati-hati. Atau mungkin aku cuma ke KLIA bukan untuk ke Kota Kinabalu  tetapi hanya menjadi 'alat'  demi terkabulnya satu doa oleh seorang hamba yang kesusahan.

Ya....Tuhan sentiasa ada caraNya!

Nukilan Ustaz Pahrul Muhammad Juoi

Ulasan

Catat Ulasan

Catatan Popular