Tiada Keberkatan Di Dalam Rezeki Dan Kehidupan
Barakah menurut Al-Raghib al-Isfahani, ialah
ثبوت الخير الإلهي في الشيء
bermaksud keberkatan itu ialah tetapnya kebaikan Ilahiy dalam sesuatu.
“Barakah dimaksudkan sebagai, “bertambah ((الزيادة dan berkembang (النماء), makabarakah pada harta ialah bertambah dan banyaknya harta, barakah pada kediaman(rumah) ialah rasa lapang, damai dan tenang mendiaminya, barakah pada makanan ialah kepelbagaiannya dan baiknya, barakah pada anak-anak ialah ramainya mereka dan baiknya akhlak mereka, barakah pada keluarga ialah apabila kuatnya ikatan kasih sayang antara mereka dan sikap mereka yang saling memahami, barakah pada waktuialah apabila terasa akan kelapangannya dan terlaksana segala tugas dan keperluan di dalamnya, barakah pada tubuh badan ialah sihat yang sempurna, barakah pada umurialah panjangnya usia yang dipenuhi dengan ‘amal-‘amal yang baik dan barakah pada ilmu ialah keluasan dan kedalaman ma’rifahnya”
Sebagaimana yang ditegaskan Allah swt dalam Surah al-A’raf, ayat 96
وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَٰكِن كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُم بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ
[Al-A'raaf : 96]
Dan sekiranya penduduk negeri beriman dan bertaqwa, pasti Kami akan melimpahkan kepada mereka barakah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat) kami, maka kami siksa mereka sesuai dengan apa yang telah mereka kerjakan.
Kehidupan yang dibarkahi adalah kehidupan biasa bagi seseorang, namun kerana iman dan taqwanya dia menikmati kehidupan tersebut dengan penuh rasa bahagia. Segala-galanya baginya mudah. Sekalipun ada masalah, namun jalan keluarnya sentiasa ada. Sekalipun menghadapi kerumitan, namun dia tidak buntu, lalu dengan pantas menemukan penyelesaian. Sekalipun menempuh kesusahan namun dengan bimbingan Allah masalahnya tidak berpanjangan. Sekalipun harta dan wang tidak seberapa tapi keperluan-keperluan utamanya berjaya didapatkan. Sekalipun sederhana tapi bahagia. Kehidupan yang demikian mungkin mengheran sesetengah orang, kerana aqal fikiran dan rasional manusia tidak dapat menghuraikan sepenuhnya logika di sebalik barakah ilahi.
Dari catatan seorang penulis, yang disebutnya sebagai kisah benar, diceritakan bagaimana sahabatnya yang tinggal di Kajang, berpendapatan kurang dari RM3,000 sebulan tapi hidupnya selesa. Dia mampu membiayai 7 orang anak (4 orang ke sekolah integrasi), membayar sewa RM400 sebulan, membayar ansuran kereta Toyota Unsernya RM500 sebulan, memberikan ibunya RM200 sebulan, ibubapa mertuanya diberi RM300 sebulan (sebagai menghargai isterinya yang sanggup berhenti kerja). Dia dapat pula menyediakan semua keperluan rumahnya termasuk perabot dan alatan eletrik. Sesuatu yang mengherankan ialah bil eletriknya sentiasa kurang dari RM20 (TNB mengesahkan bahawa meternya tidak rosak) dan bil airnya kurang dari RM10. Dia juga menyatakan bahawa selama 4 tahun ini keretanya tidak pernah rosak atau menyusahkannya. Anak-anaknya dikenali dengan akhlak yang baik dan jarang sakit.
Penulis tersebut membuat pemerhatian dan mendapati bahawa sahabatnya seorang yang konsisten dengan Solat Dhuha, dikerjakan sekalipun outstation. Sering beristikharah walaupun ketika membuat keputusan membeli mesin basuh. Amat kasihkan ibubapa dan mertuanya. Sering infak dan menolong orang lain. Menjadikan amalan membaca Surah al-Waqiah. Dan beliau tidak terlibat langsung dengan amalan riba dalam urusan pinjam dan kad kredit kecuali yang Islamik.
Penulis berkenaan turut menceritakan kisah abang kepada temannya yang sentiasa merungut ketidakcukupan wang sekalipun berpendapatan RM10,000 sebulan. Bahkan sentiasa memburu jawatan baru dan mengharap-harap untuk mendapat ganjaran baru, RM14,000 sebulan. Sedang dia hanya mempunyai 2 orang anak sahaja.
Dari pemerhatian penulis tersebut, abang kepada temannya ini terlibat dengan pelbagai amalan berasaskan riba dalam pinjaman kereta, pinjaman rumah, kad kredit dan akaun simpanan. Walaupun menggunakan berbagai kad kredit namun dia membayar bayaran pokok (bayaran minimum?) sahaja dan dengan demikian berterusan terikat dengan amalan riba. Sering bertukar kereta kerana sentiasa sahaja keretanya membawa masalah kerana rosak dan ada ketikanya keretanya dicuri orang. Sering bertengkar dengan isteri. Isterinya pula sering keluar masuk hospital kerana penyakit misteri. Sementara anak perempuan sulungnya di tingkatan 3, kena tangkap basah. Dia suka menengking terhadap orang-orang yang meminta derma. Solat dipandang enteng sahaja.
Beza kedua-dua orang ini; satu senang dan bahagia sementara satu lagi bermasalah dan sukar. Mungkin kehidupan yang ditempuh mereka mempunyai kaitan yang rapat dengan samada mendapat barakah dari Allah atau sebaliknya. Satu kisah seorang yang ingin hidup dalam lingkungan syariat, ingin membina keluarga muslim sejati, kasihkan ibunya, termasuk ayah ibu mertuanya. Kuat ibadahnya serta suka berinfaq. Maka Allah membarkahi hidupnya dengan kemudahan dan kebahagiaan. Sementara seorang lagi sering mengabaikan tanggungjawabnya terhadap Allah, tidak peduli halal haram dan buruk akhlaknya, maka Allah mencabut kebarkahan dari hidupnya lalu dia resah gelisah dan merana tiada kesudahan.
Tiada bermakna kemewahan dan rezeki yang melimpah, serta umur yang panjang sekiranya hidup penuh gelisah dan bimbang, diperburuk pula oleh penyakit dengki, khianat, dendam kesumat serta tamak haloba. Lebih bermakna hidup yang sederhana dengan rezeki yang tidak seberapa dan mungkin usia yang tidak sepanjang mana, namun sentiasa terurus, tenang dan bahagia serta sentiasa disenangi orang.
Ibnu Qayyim berkata, “Tidaklah kelapangan rezeki dan amalan diukur dengan jumlahnya yang banyak, tidaklah panjang umur dilihat dari bulan dan tahunnya yang berjumlah banyak. Akan tetapi, kelapangan rezeki dan umur diukur dengan kebarkahannya.” (Al-Jawabul Kafi karya Ibnu Qayyim, 56).
Ciri2 Kehidupan yang tidak berkat :
1. Duit banyak, tapi cepat habis
Walaupun pendapatan bertambah, tapi asyik tidak mencukupi kerana duit banyak dihabiskan pada perkara yang sia-sia. Sepatutnya bila duit dapat banyak, sedekah pun bertambah. Sekurang2nya 5% daripada jumlah pendapatan sebulan. Tapi sebaliknya, menjadi makin kedekut. Sedekah tidak bertambah, duit tetap habis ke tempat sia- sia. Lebih parah lagi ada yang hutang kad kredit , hutang ‛Along' keliling pinggang.
2. Buat kerja, tapi tidak siap2.
Projek ada macam-macam, idea banyak, tapi satu pun tidak berjaya. Macam-macam usaha dibuat tapi semuanya tergantung. Semuanya tergendala dan tidak berjaya. Kalau ada yang menjadi pun, tapi tidak seperti yang dirancangkan.
3. Buat sesuatu, tidak mendapat manfaat. Membaca banyak buku, tapi ilmu satu pun tidak lekat. Pandai memberi nasihat kepada orang, tapi diri sendiri tunggang langgang.
4. Masa banyak habis dengan sia-sia.
Kononnya sibuk, tapi sebenarnya banyak masa dihabiskan dengan perkara yang sia-sia. Leka dengan facebook, TV, borak kosong dengan kawan, main game dan
melepak. Tapi nak luang membaca al-Quran 5 minit sehari pun tidak mampu. Solat pun di akhir waktu dan tidak sampai 5 minit. Apalagi berzikir langsung tidak diamalkan. Malah berdoa untuk diri sendiri pun malas.
5. Hidup nampak resah gelisah dan tidak tenang. Mulut asyik merungut tentang itu dan ini, jarang bersyukur atau berterima kasih, ada sahaja yang tidak kena dan tidak berkenan di hatinya. Lebih buruk lagi sering menuding jari mencari2 salah orang lain jika ada yang tidak puas hati. Dan tentu sekali orang begini sukar menerima teguran dan nasihat. Hanya dia yang terbaik dan orang lain selalu berada di bawahnya.
Adakah anda salah seorang yang mengalami atau merasai tanda-tanda di atas?
Mari kita sama-sama muhasabah diri. Tanya pada diri, adakah kita salah seorang daripada orang yang tidak mendapat keberkatan dari Allah. Kita bukan saja akan rugi di dunia ini, malah akan bankrap di akhirat nanti. Na’uzubillah.



Ulasan
Catat Ulasan