JUMPA SECARA NYATA DENGAN RASULULLAH SAW

BAB TENTANG MELIHAT RASULULLAH SAW BAIK DALAM MIMPI MAHUPUN SEDAR(KEBIASAAN DALAM SOLAT)

Sungguh benar sabda Nabi shallahu ‘alaihi wa sallam :



من رآني في المنام فسيراني في اليقظة ولا يتمثل الشيطان بي


” Barangsiapa melihatku dalam mimpi, maka dia akan melihatku di waktu terjaga, dan Syaitan tak bisa menyerupaiku ”
(HR. Bukhari no: 6993)
Tentang Yaqazah
Definisi Yaqazah dan Musyafahah

Arti yaqazah menurut bahasa ialah jaga, sadar, bukan dalam keadaan mimpi, (yaqiza) Aiy mutayaqqizun: Hazirun: jaga, sadar, berjaga-jaga.

Mukhtarus Sihah, lisy Syeikh Al Imam Muhammad bin Abi Bakar bin Abdul Qadir Ar Razi, Al Maktabah Al‘asriyah, Soida, Beirut. (halaman 349)

Adapun pengertian yaqazah pada istilah pembahasan ilmu tasawuf ialah bertemu atau berjumpa dengan roh Rasulullah SAW dalam keadaan jaga (bukan mimpi) dan hal ini merupakan satu karamah wali-wali Allah.

Arti musyafahah menurut bahasa adalah bercakap-cakap antara dua pihak. (Al Musyafahah) Al Mukhatobah min fika ila fihi.

Mukhtarus Sihah, lisy Syeikh Al Imam Muhammad bin Abi Bakar bin Abdul Qadir Ar Razi, Al Maktabah Al‘asriyah, Soida, Beirut. (halaman 167)

Pengertian musyafahah secara istilah adalah bercakap-cakap dengan roh Rasulullah SAW atau bertanya- jawab atas hal-hal yang kurang jelas dalam agama atau menerima amalan-amalan tertentu dari baginda.

Yaqazah adalah satu perkara luar biasa yang bertentangan dengan adat kebiasaan. Ia menjadi salah satu sumber kekuatan para ulama yang hak dalam mempertahankan kebenaran. Imam As Sayuti apabila ingin memasukkan sebuah Hadis ke dalam kitab karangannya akan bertanya kepada Rasulullah SAW secara yaqazah: “Adakah Hadis ini daripadamu ya Rasulullah?” Jika Rasulullah SAW membenarkan, barulah beliau menuliskan Hadis tersebut. Begitu juga terjadi kepada banyak auliya Allah.

Ini merupakan satu ‘teknologi’ yang sangat canggih yang tidak mampu dipotong oleh musuh-musuh Islam di kalangan Yahudi dan Nasrani. Bagaimana mereka ingin memotongnya sedangkan kekuatan mereka hanya sebatas memaksimumkan penggunaan akal. Akal sampai kapan pun tidak akan berhasil mengalahkan kekuatan roh. Inilah senjata kemenangan ulama-ulama dan para pejuang Islam sepanjang sejarah. Dengan bersungguh-sungguh mengusahakan taqwa, Allah kurniakan kepada mereka bantuan-bantuan-Nya secara zahir atau rohani. Di antara bantuan-bantuan rohani ialah mimpi yang benar, firasat, kasyaf, hatif dan lain-lain. Bacalah sejarah Tariq bin Ziad, Salehuddin Al Ayubi, Muhammad Al Fateh, Mimar Sinan, Imam Al Ghazali, Imam As Sayuti. Kajilah rahsia kemenangan mereka.

Hukum Yaqazah

Yaqazah hukumnya dapat berlaku pada wali-wali Allah sebagai kemuliaan (karamah) yang Allah kurniakan kepada mereka. Ia adalah perkara yang bertentangan dengan adat kebiasaan (luar dari kebiasaan) pada logika manusia sedangkan ia masih dalam lingkungan mumkinat (harus) bagi Allah mengadakan atau meniadakannya.

Perlu diketahui perkara yang bersalahan dengan adat boleh dibahagikan kepada empat kategori, berdasarkan di tangan siapa ia terjadi:

1. Mukjizat: berlaku kepada para rasul a.s. sebagai bukti kerasulan mereka untuk mencabar penentang-penentang mereka.
2. Karamah: berlaku kepada kekasih-kekasih Allah (para wali) lambang kemuliaan yang Allah beri kepada mereka.
3. Maunah: berlaku kepada orang-orang mukmin dengan berkat guru atau amalan tertentu yang diistiqamahkan.
4. Sihir: berlaku di tangan orang-orang fasik atau kafir secara istidraj (dalam murka Tuhan).

Dalil Boleh Beryaqazah

Perlu diketahui dan difahami, ada banyak ayat-ayat Al Quran yang memberi isyarat tentang peristiwa yaqazah ini. Kalaulah ia dapat berlaku kepada para rasul a.s. sebagai mukjizat, ia juga dapat berlaku kepada wali-wali Allah sebagai karamah.

Dalil pertama: Pertemuan Nabi Muhammad SAW dengan Nabi Musa a.s.

Ketika Rasulullah SAW dimikrajkan, baginda dipertemukan dengan Nabi Musa a.s. sedangkan Nabi Musa telah wafat lebih 600 tahun sebelum kelahiran Nabi Muhammad. Oleh kerana besarnya peristiwa ini maka Allah rakamkan di dalam Al Quran dengan firman-Nya:

Maksudnya: “Maka janganlah kamu ragu tentang pertemuanmu (dengan Musa ketika mikraj).” (Sajadah: 23)

Dalil kedua: Solat jemaah Nabi SAW dengan para rasul

Nabi Muhammad SAW bersembahyang berjemaah dengan para rasul di malam Israk sebelum baginda dimikrajkan. Firman Allah:

Maksudnya: “Dan tanyalah orang-orang yang Kami utus sebelum kamu (wahai Muhammad) di antara para rasul Kami itu.” (Az Zukhruf: 45)

Di dalam Tafsir Al Qurtubi, juzuk ke-7, ms 5915 tercatat:

“Masalah bertanya kepada anbiya di malam mikraj, Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa para anbiya bersembahyang dengan berimamkan Rasulullah SAW dalam tujuh saf. Tiga saf terdiri dari rasul-rasul. Manakala empat saf lagi untuk nabi-nabi. Pertemuan Nabi SAW ini adalah dalam keadaan jaga dan Nabi SAW telah bertanya sesuatu kepada mereka di malam itu.”

Dalil ketiga: Hadis dari Abu Hurairah r.a.

Dari Abu Hurairah r.a. berkata: Aku dengar Nabi SAW bersabda:

Maksudnya: “Sesiapa yang melihatku di dalam mimpi, maka dia akan melihatku di dalam keadaan jaga dan syaitan tidak boleh menyerupai diriku.” (Sahih Bukhari, juzuk ke-9, m.s. 42)

Pengakuan Ulama Mengenai Yaqazah

Ibnu Arabi dalam kitabnya Fara’idul Fawa’id menulis:

“Adalah harus (khususnya bagi wali Allah yang diberi karamah) untuk bertemu dengan zat Nabi SAW baik rohnya atau jasadnya kerana Rasulullah SAW seperti lain-lain nabi dan rasul, semuanya hidup bila mereka dikembalikan (kepada jasadnya) serta diizinkan oleh Allah keluar dari kuburnya.”

Dalam kitab Al Khasoisul Kubra, Imam As Sayuti dalam Syarah Muslim oleh Imam Nawawi menulis:

“Jikalau seseorang berjumpa Nabi SAW (dalam mimpi atau jaga), baginda menyuruh akan sesuatu perbuatan (sunat), melarang satu larangan, menegah atau menunjukkan suatu yang baik, maka tiada khilaf ulama bahawa adalah sunat hukumnya mengamalkan perintah itu.”

Pihin Datuk Seri Maharaja Datuk Seri Utama, Awang Haji Ismail bin Umar Abdul Aziz, Mufti Kerajaan Brunei Darussalam, mengeluarkan fatwa melalui Pejabat Mufti, Kementerian Hal Ehwal Agama, Negara Brunei Darussalam pada 14 Jamadil Awal 1408H, 4 Januari 1988 iaitu:

“Maka nyata dari kata-kata ulama yang di atas ini bahawa berjumpa dengan Nabi SAW waktu tidur atau waktu jaga dan Nabi SAW mengajar akan sesuatu ilmu, suatu doa, suatu selawat dan suatu zikir, adalah harus dan boleh, bagaimana telah berlaku pada ulama-ulama, ahli ilmu Islam, wali-wali Allah dan orang-orang solehin, kita berkata perkara seperti itu termasuk di bawah ertikata fadhailul a’mal.

Adapun perkara halal dan haram telah tertutup dengan berhenti wahyu kepada Nabi kita dan dengan wafat Nabi kita SAW sebagaimana kita telah sebutkan di awal-awal rencana ini.

Sila baca kitab-kitab mengenai wali-wali Allah seperti Syawahidul Haq karangan Syeikh Yusuf Anbahani dan kitab Lathoiful minan karangan Al Arifbillah Tajuddin bin Athaillah As Sakandari yang meninggal tahun 709H dan Jami’u Karamatil Auliya karangan Syeikh Anbahani dan Hilyatul Auliya oleh Al Hafiz Abu Naim dan karangan Al ‘Alamah Dr. Abdul Halim Mahmud, Mesir dan lain-lain.”

 Imam Al-Allamah An-Nafrawi r.h.l. berkata (di dalam bukunya (Al-Fawakih Ad-Diwani, jilid 3, m/s 360):

           “Diharuskan (dibolehkan) seseorang berjumpa atau melihat Nabi s.a.w. secara yaqazah atau secara mimpi, menurut kesepakatan para huffaz (ahli hadis). Mereka cuma berselisih tentang adakah orang yang melihat tubuh Nabi s.a.w. itu dalam bentuk sebenar, secara hakiki atau dalam bentuk contoh (gambaran) sahaja?... Adapun mereka yang mengingkarinya, maka hukumnya Haram, kerana kalaulah dia mengingkarinya kerana dia seorang yang mengingkari tentang keramat (perkara-perkara yang luar biasa dari adat) para wali (kekasih Allah s.w.t.), maka untuk berbahas dengan mereka sememangnya sia-sia, kerana dia sendiri telahpun mendustai apa yang dithabitkan di dalam sunnah (samada mengenai karamat para wali atau mengenai bertemu Nabi s.a.w. secara yaqazah)…”

   “Apa itu ‘yaqazah’? Ia adalah satu kejadian ajaib yang menemukan antara syeikh tarekat tertentu dan juga Rasulullah SAW setelah bertahun-tahun malah beratus tahun selepas kewafatan Baginda.

            Barangkali, seseorang yang jahil dalam ilmu mantiq akan terpukau dengan takrif “yaqazah” yang diberikan oleh saudara penulis tersebut. Tetapi, kalau kita nilai balik takrif tersebut, ianya tidak bersifat jami’ dan mani’ menurut ilmu pentakrifan sesuatu.

            Ini kerana, tidak ada satupun dari kalangan para ulama’ dan ahli sufi yang mengatakan bahawa, yaqazah (atau bertemu Nabi s.a.w. secara yaqazah) tersebut hanya dikhususkan kepada para sheikh tarekat semata-mata. Silalah kiranya, saudara penulis ataupun para penggemar si penulis tersebut mengkaji buku-buku yang menulis mengenainya, hatta dari kalangan ulama’ sufi sendiri, nescaya saudara tidak akan mendapati satupun tulisan mereka yang mengkhususkan perkara tersebut berlaku kepada para sheikh tarekat semata-mata.

            Bahkan, seluruh ulama’ menerangkan bahawa, ianya boleh berlaku kepada sesiapa sahaja yang dimuliakan oleh Allah s.w.t., dari kalangan umat Islam, bukan sekadar kepada para sheikh tarekat sahaja.

            Hal ini jelas merupakan suatu tuduhan tidak berasas dari saudara pengarang, ataupun suatu fitnah terhadap golongan tarekat dan sufi itu sendiri.

            Sesiapa sahaja yang diberi kemuliaan oleh Allah s.w.t. untuk bertemu dengan Nabi s.a.w. secara jaga, maka perkara tersebut akan berlaku kepadanya, samada dia seorang ahli tarekat mahupun tidak, kerana tidak ada sesiapa yang berhak mengkhususkan nikmat pemberian Allah s.w.t., apatah lagi berhak menuduh sesuatu golongan mengkhususkannya kepada mereka sahaja, tanpa sesuatu pihak yang lain.
 Marilah kita nukilkan ulasan-ulasan para ulama’ mengenai perihal “bertemu atau melihat Nabi s.a.w. secara yaqazah tersebut, kerana kita sememangnya kekurangan ilmu mengenainya. Jadi, rujuklah kepada mereka yang lebih berilmu sebelum sewenang-wenangnya mempertikaikan sesuatu.

            Imam Al-Nafrawi Al-Maliki dalam bukunya (yang disebutkan sebelum ini) menyebut:

            “Diharuskan (dibolehkan) seseorang berjumpa atau melihat Nabi s.a.w. secara yaqazah atau secara mimpi, menurut kesepakatan para huffaz (ahli hadis). Mereka cuma berselisih tentang adakah orang yang melihat tubuh Nabi s.a.w. itu dalam bentuk sebenar, secara hakiki atau dalam bentuk contoh (gambaran) sahaja? Sebahagian ulama’ berpegang dengan pendapat pertama (di mana seseorang yang bertemu dengan Nabi s.a.w. secara yaqazah melihat tubuh Baginda s.a.w. secara hakiki). Sebahagian ulama’ pula berpegang dengan pendapat yang kedua (iaitu: melihat Nabi s.a.w. secara yaqazah dalam bentuk imej, gambaran seperti pantulan di cermin dan sebagainya, Wallahu a’lam), di antara mereka (yang berpegang dengan pendapat kedua adalah): Imam Al-Ghazali, Imam Al-Qarafi, Imam Al-Yafi’e dan sebagainya.

            “Golongan yang berpegang dengan pendapat yang petama berhujah bahawa: Nabi Muhammad s.a.w. umpama cahaya hidayah dan mentari keilmuan, boleh dilihat dari jauh seperti orang boleh melihat matahari dan cahaya dari jauh… Tubuh Baginda s.a.w. tidak meninggalkan kubur, tetapi seseorang yang melihat Nabi s.a.w. secarayaqazah dibuka oleh Allah s.w.t. hijab (jarak) antaranya dengan Rasulullah s.a.w. lantaran itu, dia dapat melihat Rasulullah s.a.w. samada dia berada di timur mahupun barat…

            “Ada juga yang berpendapat, seseorang melihat Nabi s.a.w. secara yaqazah dengan mata hati, bukan dengan mata kepala, kerana boleh jadi juga, orang yang buta juga diberi anugerah melihat Baginda s.a.w. secara jaga, dengan mata hatinya…

            “Ibn Abi Hamzah dan sebahagian daripada mereka (para ulama’) menceritakan bahawa mereka pernah melihat Nabi s.a.w. secara jaga…”

            Demikianlah perkataan Imam An-Nafrawi mengenai keadaan melihat Nabi s.a.w. secara jaga (yaqazah) tersebut, di mana hijab jarak dibuka oleh Allah s.w.t. kepada seseorang, lantaran itu dia melihat tubuh Nabi s.a.w. dari jauh, yang mana jasad Nabi s.a.w. tidakpun meninggalkan maqam Baginda s.a.w., bukan seperti sangkaan penulis dan mereka yang berfikiran seperti beliau, di mana seseorang berjumpa Nabi s.a.w. di Kuala Lumpur dan sebagainya.

            Hal ini jelas beliau masih belum faham mengenai keadaan bertemu Nabi s.a.w. secara yaqazah, boleh jadi keran belum berpengalaman. Tetapi, rujuklah ulasan-ulasan para ulama’ mengenainya terlebih dahulu, sebelum membuat andaian yang pelbagai, yang hanya berdasarkan prasangka dan khayalan semata-mata.

            Tidak sama melihat Nabi s.a.w. secara yaqazah dengan bertemu penulis di sekitar Kuala Lumpur…Maka fahamilah.

            Al-Allamah Dr. Ali Jum’ah menerangkan juga dengan maksud yang lebih kurang sama:

            “Boleh jadi, melihat Nabi s.a.w. secara yaqazah dan hakiki itu, ialah melihat Nabi s.a.w. di tempat Baginda s.a.w. di Raudhah Baginda s.a.w. yang mulia, di mana yang melihatnya, melihat Baginda s.a.w. dalam bentuk imej, gambaran dalam alam gambaran, yang merupakan natijah dari limpahan cinta terhadap Baginda s.a.w. dan sentiasa memikirkan tentang Nabi s.a.w…”

            Keadaan ini tidak ditolak oleh syariat, jadi tidak layak seseorang mempertikaikannya, kerana Allah s.w.t. Maha Berkuasa dalam mebuka hijab jarak antara seseorang dengan seseorang yang lain di alam yaqazah jika Dia menginginkannya.

            Contoh tersebut (pembukaan hijab jarak) juga dinukilkan dalam suatu peristiwa yang berlaku terhadap Saidina Umar r.a., di mana beliau melihat keadaan kumpulan tentera yang dihantar olehnya sedangkan beliau berada jauh di tempat lain (di Parsi) dari kumpulan tersebut, lantaran itu melaungkan perkataan “Ya Sariyah” dan suara itu didengari oleh kumpulan tentera yang berada jauh dari Saidina Umar tersebut. (riwayat At-Tabrani dalam tarikh beliau ( jilid 2 m/s 553), Ibn Hajar dalam buku Al-Ishobah jilid 3 m/s 6 dan Ibn Abdil Bar dalam buku Al-Isti’ab jilid 4 m/s 1605)

            Jadi, dari sudut akal mahupun syariat, hal tersebut tidak bertentangan. Jadi, orang-orang yang mengingkarinya samada jahil mahupun sengaja tidak mahu menerimanya, boleh jadi hasad kerana tidak pernah mengalaminya dan sebagainya.

            Lihatlah ulasan Sheikh Ibn Al-Haj (dalam buku Al-Madkhal, jilid3 m/s 194):

            “Sebahagian orang mendakwa melihat Nabi s.a.w. secara yaqazah, sedangkan ia merupakan satu perbahasan yang sempit untuk diperbahaskan (sukar untuk diperbahaskan).  Amat sedikitlah dari kalangan mereka yang mengalaminya, kecuali terhadap mereka yang amat mulia di zaman ini. Walaubagaimanapun, kami tidak mengingkari sesiapa yang mengaku pernah mengalaminya, dari kalangan orang-orang yang mulia yang dipelihara oleh Allah s.w.t. zahir dan batin mereka.”

            Oleh yang demikian, pertemuan dengan Nabi s.a.w. secara yaqazah menurut para ulama’ besar adalah bertemuan yang tidak dibatasi oleh jarak, kerana ianya menjangkaui sempadan tersebut, dengan kuasa dan izin Allah s.w.t., dan tidak ada penafian mengenainya kepada Saidina Umar r.a. pun pernah mengalami perihal demikian.

 Dari Abu Hurairah r.a. katanya: saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda (yang bermaksud:

            “Sesiapa yang melihatku di dalam mimpi, maka dia akan melihatku secara yaqazah, kerana sesungguhnya syaitan tidak boleh menyerupaiku”

            Hadis riwayat Al-Bukhari di dalam kitab Sahih beliau (6/2567), dan Abu Daud dalam Sunan (4/305).

*Nota Kaki : Ada orang kata hanya alim Ulama' sahaja yg layak temui Rasulullah saw tapi saya jawabkan ; Rasulullah saw nak temui sape pun ikut suka Rasulullah saw la sebab dia dapat keizinan pun Dari Allah swt bukan Dari manusia pun.

Ulasan

Catatan Popular