Kenapa Perlu Solat Dhuha Dapat Apa ?
{وَالضُّحَىٰ (1) وَاللَّيْلِ إِذَا سَجَىٰ (2) مَا وَدَّعَكَ رَبُّكَ وَمَا قَلَىٰ (3) وَلَلْآخِرَةُ خَيْرٌ لَّكَ مِنَ الْأُولَىٰ (4) وَلَسَوْفَ يُعْطِيكَ رَبُّكَ فَتَرْضَىٰ (5) أَلَمْ يَجِدْكَ يَتِيمًا فَآوَىٰ (6) وَوَجَدَكَ ضَالًّا فَهَدَىٰ (7) وَوَجَدَكَ عَائِلًا فَأَغْنَىٰ (8) فَأَمَّا الْيَتِيمَ فَلَا تَقْهَرْ (9) وَأَمَّا السَّائِلَ فَلَا تَنْهَرْ (10) وَأَمَّا بِنِعْمَةِ رَبِّكَ فَحَدِّثْ (11)} [الضحى : 1-11]
( 1 ) Demi waktu dhuha,
( 2 ) Dan malam apabila ia sunyi-sepi -
( 3 ) (Bahawa) Tuhanmu (wahai Muhammad) tidak meninggalkanmu, dan Ia tidak benci (kepadamu, sebagaimana yang dituduh oleh kaum musyrik).
( 4 ) Dan sesungguhnya kesudahan keaadaanmu adalah lebih baik bagimu daripada permulaannya.
( 5 ) Dan sesungguhnya Tuhanmu akan memberikanmu (kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat) sehingga engkau reda - berpuas hati.
( 6 ) Bukankah dia mendapati engkau yatim piatu, lalu la memberikan perlindungan?
( 7 ) Dan didapatiNya engkau mencari-cari (jalan yang benar), lalu Ia memberikan hidayah petunjuk (dengan wahyu - Al-Quran)?
( 8 ) Dan didapatiNya engkau miskin, lalu Ia memberikan kekayaan?
( 9 ) Oleh itu, adapun anak yatim maka janganlah engkau berlaku kasar terhadapnya,
( 10 ) Adapun orang yang meminta (bantuan pimpinan) maka janganlah engkau tengking herdik;
( 11 ) Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya.
Solat sunat Dhuha itu keutamaannya agar jiwa mampu menyedari Allah setiap saat. Untuk mengukuhkan kesedaran kita padaNya ketika kita mula melaksanakan tugas kita pada setiap hari.
Di ketika kita tidak putus sedar padaNya iaitu sedar setiap saat, maka ilham daripada Allah mampu ditangkap dengan baik.
Ketika ilham mampu difahami bersama kekuatan yang diturunkan bersama ilham itu, maka akan tergerak jasad ini untuk melaksanakan perintah-perintahNya. Akan memahami di mana rezeki dan bila masanya ia hadir.
Lalu akan ada rasa ingin memohon dan kita pun berdoa. Doa itu pasti doa yang makbul kerana jiwa itu mampu menangkap ilham yang jelas bahawa ketika mana rezeki itu akan sampai.
Benarlah janji Allah :
"mohonlah kepadaKu, akan aku makbulkan...".
Doa kita yang tidak makbul itu kerana jiwa kita yang masih tidak mampu menangkap ilham daripadaNya.
Ketika kita mampu menangkap ilham, kita tidak akan resah gelisah kerana kita memahami bilakah masa yang sesuai untuk kita menerima rezeki daripadaNya.
Segala kerja kita itu dilaksanakan atas rasa dan kesedaran akan tanggungjawab kita pada Allah. Syariat itu kita jalankan. Kita sangat memahami rezeki itu sebuah ketetapan daripada Allah yang siap tertulis.
Lalu segala kerja kita menjadi sebuah ibadah hanya kerana Allah.
Dhuha itu bukan permohonan rezeki material semata-mata.
Dhuha itu untuk segala jenis rezeki.
1. Rezeki dalam bentuk semangat dan kekuatan.
2. Rezeki dalam bentuk ketenangan dan kebahagiaan.
3. Rezeki dalam bentuk kesihatan dan bertenaga.
4. Rezeki dalam bentuk kasih sayang.
5. Rezeki dalam bentuk kemudahan kehidupan.
6. Rezeki dalam bentuk hidayah.
7. Rezeki dalam bentuk rahmat dah redha.
8. Rezeki memasuki ke dalam syurga melalui Pintu Dhuha.
Semuanya adalah rezeki dalam sebuah kehidupan menuju Ilahi.
Ya Allah,
Dengan berkat waktu Dhuha,
Dan demi kecantikanMU,
Dan demi keindahanMU,
Dan demi kekuatanMU,
Dan demi kekuasaanMU,
Limpahkan kepada kami segala kebaikan yang telah Engkau limpahkan kepada orang-orang yang beriman lagi soleh,
Ya Allah. Aamiin , Aamiin , Aamiin ,
Ya Rabbal Alamien.



Ulasan
Catat Ulasan