Pergi Tidak Akan Kembali Lagi



Semalam saya berkesempatan menghadiri majlis pengkebumian datuk saudara sebelah ayah di Taiping, Perak..kami sampai betul2 waktu keranda jenazah sedang diusung ke Tanah Perkuburan. Kebetulan rumah Allahyarham tak jauh dari tanah perkuburan jadi kerandanya dipikul oleh anak2 dan cucu lelakinya yang sememangnya ramai.

Saya terpanggil untuk berkongsi apa yang saya rasa dan saya lihat. Saya akui saya menangis semalam bukan sebab terlalu sedih meratapi pemergiannya tetapi sayu melihat betapa bertuahnya Allahyarham berbanding saya dan kita semua. Allahyarham punya 6 orang anak lelaki dan 4 orang anak perempuan , bilangan yang agak besar bagi sebahagian dari kita.

Ada orang takut beranak ramai, banyak kali saya dengar kononnya biar kuantiti sikit tapi berkualiti..tapi apa yang saya lihat semalam mengubah 360° pemikiran saya sebelum ini. Bayangkan bukan setakat urusan memandi, mengkafan, mengimamkan solat jenazah si ayah. Malah menurunkan ke liang lahat hatta talkin juga dibaca oleh anak Allahyarham sendiri. Mereka seolah tahu peranan masing2. Sambil sebahagian anak dan cucu menguruskan pengkebumian, beberapa anak sempat bertahlil sementara jenazah ayahnda mereka selamat dikebumikan..

Usai jenazah ditanam, anak yang bertahlil berhenti dan salah seorang anak pula mengambil alih membaca talkin. Bayangkan talkin di baca dengan menyebut "Wahai ayahku ....."  keadaan hiba bila kesemua 6 orang anak lelaki Allahyarham menitis air mata waktu bacaan doa dibacakan. Saya dapat rasakan betapa tersenyumnya roh Allahyarham bila melihat kesemua urusan di pengakhiran perjalanan hidupnya dilakukan oleh darah dagingnya..

Benarlah jika anak dibesarkan dengan agama segalanya sangat sempurna. Mereka bukan sahaja berjaya dari segi akademik tapi juga sahsiah dan ilmu akhirat. Betapa saya teringin dan saya harap semua yang membaca kisah ini juga teringin melalui pengalaman ini.

Sekarang baru saya lebih faham kenapa Islam menyebut 3 amalan yang dibawa selepas mati selain SEDEKAH JARIAH dan ILMU YANG BERMANFAAT adalah DOA ANAK YANG SOLEH. 3 perkara ini lah yang sepatutnya kita jadikan panduan dalam kehidupan sebagai seorang yang bergelar ayah dan ibu.

Hanya jika kita berjaya mendidik anak2 kita menjadi anak yang soleh sahaja yang mampu menyampaikan amalan serta doa sebagai bekalan pencen kubur kita di sana. Bukan anak yang berjaya di dunia sahaja tetapi tidak menghormati ibu ayah  sendiri .

Kita masih mampu berubah untuk jadi ibubapa yang baik . Serta berusaha menjadi anak yang baik dan soleh untuk kedua ibu ayah  kita. Selagi Allah masih sudi pinjamkan nikmat untuk kita bernafas dan meneruskan hidup. Semoga Allah merahmati hidup kita semua. In sha Allah.

AlFatihah buat Allahyarham Tok Lang


Ulasan

Catatan Popular