Tips Mencari Lailatul Al Qadr
“Sesungguhnya kami telah menurunkannya (Al Quran) itu pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Rabb-nya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar.“ (QS. Al-Qadr)
Malam yang penuh keberkatan. Dari segi maksud, Laylatul Qadr boleh membawa maksud malam yang penuh kemenangan, malam yang penuh kehebatan, malam yang tersangat-sangat penting.
Melalui apa yang diriwayatkan, pada malam Laylatul Qadr inilah Allah mengumumkan ketentuan terhadap kedudukan rezeki, ajal maut dan segalanya yang berkisar dalam kehidupan setiap seorang hambaNya untuk tahun yang berikutnya kepada para-para malaikat. Jadi sepatutnya kita sebagai makhluk yang sentiasa menginginkan kejayaan dunia dan akhirat serta keberkatan seharusnya mengambil peluang dengan memanjatkan doa dan beribadat pada malam tersebut.
Yang pasti, Lailatul Qadar atau Malam al-Qadr ialah satu malam dalam bulan Ramadhan yang lebih baik daripada 1,000 bulan. Sesiapa yang beramal pada malam tersebut sama seperti beramal selama 1,000 bulan, iaitu bersamaan 83 tahun 4 bulan.
Tip amalan di 10 malam terakhir di Bulan Ramadhan
1. BERSEDEKAH SETIAP MALAM
Bersedekahlah paling kurang pun RM1 satu malam di setiap malam. Kerana, jika malam itu jatuh pada Laylatul Qadr, InsyaAllah kita diberikan pahala bersedekah untuk 83 tahun dan 4 bulan.
Dasyatnya sedekah di bulan Ramadhan ini kerana ganjarannya bukan sahaja diterima oleh si pemberi bahkan penerima juga. Paling kurang anda dapat membawa senyuman di wajah mereka yang kurang bernasib baik dengan sedekah jariah anda.
2. SOLAT MALAM SEKURANG-KURANGNYA 2 RAKAAT
Jika ianya jatuh pada malam Laylatul Qadr, solah-olah seperti kita bersolat 2 rakaat setiap hari selama 83 tahun dan 4 bulan.
Solat malam adalah satu peluang keemasan ditawarkan kepada manusia untuk mengeratkan perhubungan kita dengan Allah swt. Ia menandakan usaha kita untuk mendekatkan diri dengan Allah swt dan mengharapkan rahmat dan rezeki dariNya.
3. MEMBACA AL-QURAN SETIAP MALAM
Ganjarannya seperti membaca Al-Quran setiap hari selama 83 tahun 4 bulan.
Al Quran yang dibaca secara istiqamah dapat membantu menjadi saksi kita di akhirat kelak. Di dalamnya terkandung banyak ilmu yang boleh menjadi panduan hidup, kisah-kisah nabi yang dapat meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah saw dan pesanan-pesanan untuk setiasa taat kepada perintah Allah swt.
4. BERZIKIR
Jika saat anda berzikir itu, jatuh pada Laylatul Qadr, InsyaAllah pahalanya seperti anda berzikir selama 83 tahun 4 bulan.
Zikir membantu kita untuk sentiasa mengingati Allah swt. Sesiapa yang mengingati Allah di kala senang akan juga diingat oleh Allah swt di saat susah. Mereka yang sentiasa mengingati Allah akan sentiasa tenang hatinya.
Kerana mulianya Laylatul Qadr, Rasulullah SAW menganjurkan supaya umatnya bersedia menyambut dan menghayati malam yang berkat itu dengan pelbagai jenis amalan dan ibadah yang diterangkan di antaranya hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a yang bermaksud: “Barangsiapa menghayati malam Lailatul Qadr dengan mengerjakan sembahyang dan berbagai jenis ibadat yang lain sedang ia beriman dan mengharapkan rahmat Allah Taala, nescaya ia diampukan dosanya yang terdahulu.”
Oleh itu, singkaplah tabir di sepuluh malam terakhir. Berlumba kita mencari keredhaanNya. Hidupkan malam beribadah dan iktikaf. Berdoa, bertasbih dan memohon keampunan. Semoga kita ditemukan dengan Lailatul Qadr dan meneguk segala kelebihan, diterima segala amalan dan diredhai segala perbuatan.



Ulasan
Catat Ulasan