Taubat Nasuha Dan Cara Melaksanakan Solat Sunat Taubat.

Dalam islam seluas-luas pintu adalah pintu taubat. Allah S.W.T tidak akan jemu untuk mengampunkan hambaNya selagi hambNya percaya bahawasanya Allah S.W.T adalah satu-satunya Tuhan Yang Maha Mengampunkan hambaNya.
Dalam kalangan kita,mungkin ramai yang ingin bertaubat namun tidak tahu ke mana arah untuk mencari panduan. Berdampinglah dengan orang-orang soleh, jagalah solat, bacalah Al-Quran.
ALLAH swt sentiasa memerintahkan kita supaya bertaubat, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang sebenar.” (At-Tahrim: 8.)
Allah telah membuka pintu harapan kepada hamba-hambaNya: “Katakanlah; wahai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampunkan dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (
Az-Zumar: 53)


Syarat-syarat taubat :
1. Ikhlas ingin bertaubat
2. Tidak akan mengulangi perbuatan dosa itu lagi
3. Menyesal atas perbuatan yang telah dilakukan
4. Harus mempunyai tekad di dalam hati tidak akan melakukan dosa itu untuk selama-lamanya
5. Dikerjakan sebelum ajal tiba

Jika salah satu syarat tidak dipenuhi, maka taubat yang dilakukan itu tidaklah sah. Jika dosa berkaitan dengan manusia yang lain, maka syaratnya ditambah lagi, iaitu harus dapat membebaskan diri dari hak orang yang berkaitan. Contohnya jika hal itu berbentuk harta, harus dikembalikan. Jika berbentuk hukuman, ia harus menyerahkan diri mohon dimaafkan. Jika hal berupa cacian dan sebagainya, maka ia harus memohon keredhaannya.
Sekiranya tidak dapat bertemu dengan yang empunya badan atau sudah meninggal , maka gantikan dengan sesuatu amalan contohnya sedeqah niatkan untuk orang yang kita zalimi itu. Atau doa minta diampunkan dosa orang yang dizalimi setiap kali selepas solat.

Cara melaksanakan solat taubat :
1.  Niat Solat Taubat:
“Sahaja aku mengerjakan solat sunat taubat dua rakaat kerana Allah Ta’ala.”
2.  Bacaan surah selepas Al-Fatihah:
Rakaat pertama:   Surah Al-Kafirun
Rakaat kedua:   Surah Al-Ikhlas
3.  Semasa  sujud terakhir pada rakaat kedua, bacalah Tasbih berikut 40 kali:
“Tidak ada Tuhan selain Engkau. Maha Suci Engkau Ya Allah, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim.”
4.  Setelah memberi salam hendaklah memperbanyakkan beristighfar:
a.
Aku memohon keampunan Allah yang Maha Besar, tiada Tuhan melainkan Allah, Dialah yang Maha Hidup, Maha berdiri sendiri dan aku bertaubat kepadaNya.
b.
Daku memohon ampun kepada Allah yang Maha Agung yang tiada Tuhan melainkan Dia Yang Maha Hidup Lagi Maha Mengurus! Daku bertaubat kepada-Nya selaku taubatnya seorang hamba yang banyak dosa yang tiada menguasai akan dirinya dan tidak mampu membuat, menolak mudharat dan manfaat serta tidak dapat menguasai kematian, hidup dan kebangkitan.
c.  Baca 3 Kali Penghulu Istighfar:
“Ya, Allah Engkaulah Tuhanku, Tidak ada Tuhan selain Engkau, Engkaulah yang menjadikan aku. Sedang aku adalah hamba-Mu dan aku di dalam genggaman-Mu dan di dalam perjanjian setia ( beriman dan taat ) kepada-Mu sekuat mampuku. Aku berlindung kepada-Mu dari kejahatan yang telah ku lakukan. Aku mengakui atas segala nikmat yang telah Engkau berikan kepada ku dan aku mengaku segala dosaku. Maka ampunilah aku. Sesungguhnya tidak ada yang dapat mengampuni segala dosa kecuali Engkau.”
5.  Baca Doa Taubat
Tidak ada bacaan doa khusus selain dari istighfar selepas solat. Berdoa memohon ampun daripada Allah swt. Boleh jadikan Penghulu Istighfar sebagai doa..
MASA
Waktu di lakukan bila-bila masa merasa telah berbuat dosa (kecuali waktu makruh tahrim utk melakukan solat). 
Sebaik-baiknya 2/3 malam (pukul 2 pagi ke atas), semasa Qiyamullail.

Ulasan

Catatan Popular