Kekayaan Bersadur Kemuliaan Suatu Anugerah Yang Tidak Ternilai

Apakah itu kemuliaan?
Perlukah seseorang itu pada kemuliaan?
Yang lebih penting dari itu, untuk apa gunanya kemuliaan ini?

Kemuliaan adalah perkara yang perlu dicari.
Tanpa kemuliaan, manusia akan hidup dalam kehinaan. Pernahkah anda dihina?
Bagaimanakah perasaan apabila dihina?
Sampai bilakah mahu berada dalam kehinaan?
Perlukah lakukan sesuatu untuk menghentikan penghinaan tersebut?

Apa yang menarik ialah Tuhan berikan kita keluasan untuk mencari kemuliaan tersebut. Akan tetapi, proses pencarian itu mestilah disertakan dengan tindakan dan usaha yang berterusan serta komited untuk mendapatkannya. Mereka yang langsung tidak bertindak, sebenarnya tidak berada di dalam kemuliaan. Duduk diam-diam, mengharapkan diri menjadi mulia dan kalau begitulah caranya, tiadalah sebab mengapa seorang yang bernama Muhammad Bin Abdulllah tidak pernah duduk diam-diam menantikan kemuliaan. Sebaliknya baginda keluar, berjuang, menyebarkan ilmu, memperkasakan akhlak, memberi rahmat untuk alam, maka sebab itulah Allah mengangkat kemuliaan darjatnya di sisiNya.  Dari ini semua, lalu Allah berfirman:

“Sesiapa yang mahukan kemuliaan
(maka hendaklah dia berusaha mencarinya dengan jalan mematuhi perintah Allah), kerana bagi Allah jualah segala kemuliaan. Kepada Allah lah naiknya segala perkataan yang baik (yang menegaskan iman dan tauhid, untuk dimasukkan ke dalam kira-kira balasan) dan amal yang soleh pula di angkatnya naik (sebagai amal yang makbul yang memberi kemuliaan kepada yang melakukannya) dan sebaliknya: Orang-orang yang merancangkan kejahatan (untuk mendapat kemuliaan), adalah bagi mereka azab seksa yang berat dan rancanga  jahat mereka (kalau berkesan) akan rosak binasa”.

[Faathir: 10]

Ya Allah, rupa-rupanya kata-kata dan amalan amat berkait rapat dengan proses seseorang tersebut memperolehi kemuliaan.
Apa yang kita cakap,
apa yang kita rasakan,
apa jua yang kita fikirkan,
apa yang kita buat semuanya adalah doa dan lebih besar daripada itu ialah semuanya akan diangkat ke sisi Allah. Bagaimana sekiranya kata-kata yang kesat setiap hari?
Amalan yang tidak konsisten untuk sebuah perubahan yang positif, kesemuanya ini diangkat ke atas sana?
Bagaimana ingin menuntut kemuliaan di sebalik kata keji dan amalan negatif?
Jangan haraplah. Bahkan azab seksa yang berat bakal dijemput atas kata-kata yang tidak baik dan amalan yang jahat disamping menuntut sebuah kemuliaan. Oh tidak.

Apabila minyak ditarik subsidinya, tidak ramai pun yang berkata positif. Makian dan carutan terdengar di sana sini. Baik di laman sosial mahupun di alam realiti. Maka lahirlah parodi-parodi yang jelek dan keji di sana-sini. Adakah dengan mencarut akan menurunkan kembali subsidi atau harga minyak? Adakah mereka yang menaikkan harga barang mendengar sebarang maki hamun tersebut? Paling tidak tulisan tersebut sampaikah kepada mereka untuk bertindak melakukan satu perubahan?

Andai tidak, segala kata-kata kejian tersebut akan memakan diri kembali. Lebih buruk apabila kata-kata tersebut diangkat ke sisi Tuhan untuk dihisab. Ya Allah, jauhkanlah kami dari kata-kata yang merosakkan kami.

Orang yang kaya dan berjaya adalah orang yang tidak komplen. Mereka mengambil tahu sesuatu yang berlaku dan apa yang mereka buat adalah sekadar respon terhadap apa yang boleh diketengahkan ataupun tidak. Harga minyak hari ini ditarik subsidinya sebanyak RM0.20, maki hamun sekalipun tidak akan merubah realiti atau apa-apa kerana kita semua terpaksa mengisi juga minyak untuk keperluan seharian. Ya, kita juga serius sekiranya ada pihak yang tertentu dengan sengaja memakan harta rakyat secara kejam dan zalim. Namun bagi puak yang kaya dan berjaya, segalanya akan dapat diatasi dengan jiwa yang positif dan sentiasa mengharap padaNya. Inilah satu realiti yang sukar untuk ditelan. Harga minyak tetap naik, dan tak pernah turun, walaupun sudah banyak kali orang mengadu.

Apa saja emosi yang kita rasa, tak akan mengubah realiti.
Harga minyak tetap akan naik dan poket kita akan semakin nipis. Masalah itu tidak akan selesai sehingga kita belajar dan bertindak mencari jalan selesaikannya.

Apa ‘jalan’ yang kita ada?

Di sini ada beberapa cadangan untuk anda :

1. Jika bekerja, upgrade diri agar dinaikkan gaji.
Samada sambung belajar secara part-time sambil bekerja. Faktor kelulusan banyak mempengaruhi gaji seseorang di banyak syarikat atau sektor kerajaan.

2. Tukar kerja yang lebih tinggi gajinya, cuma masalah ini hanya berbentuk strategi jangka pendek.

3. Berniaga atau Pelaburan.
Cuma jangan mula dengan modal yang besar serta mestilah sedia untuk belajar ilmu berniaga atau melabur samada melalui membaca buku yang bagus atau hadir seminar yang bagus. Seminar percuma pun kini banyak dianjurkan terutamanya pada hujung minggu.

4. Yang paling penting adalah belajar uruskan duit .
kerana duit sikit boleh jadi banyak jika diurus dengan baik, begitu juga sebaliknya, banyak boleh jadi sedikit atau habis jika tidak pandai menguruskannya.

5. Tahan nafsu.
Stop belanja makan di luar, kurangkan window shopping. Kurangkan ke tempat yang mampu ‘menggalakkan’ kita berbelanja mengikut ‘nafsu’.
Kurangkan kos, kurangkan kos dan kurangkan kos.

6. Simpan duit, simpan duit dan simpan duit.
Walaupun belum tahu berniaga atau melabur, anda mesti simpan sedikit duit secara berdisiplin. Set sasaran atau target berapa anda mesti simpan setiap bulan dan duit itu TIDAK BOLEH digunakan langsung melainkan bila ada ilmu pelaburan.

7. Sedekah.
Semua orang ingin ubah hidup tetapi ramai orang tidak mahu ubah sikap serta belajar. The more you give, the more you get. Bila bersedekah, Tuhan akan gantikan lebih daripada apa yang kita berikan. Suka atau suka?

InsyaAllah, selagi kita berkata dan bertindak positif, Dia Yang Maha Mendengar dan Maha Melihat akan selalu ada mendengar dan memerhatikan apa sahaja keluhan dan harapan dari kita. Hantarlah amalan dan kata-kata yang baik untuk dinilai di sisiNya sebagai tiket untuk ke Syurga kelak. Islam itu tertegak dengan Akhlak. Bukankah kita sebagai penganut sepatutnya menyebarkan dan memperdagangkan akhlak itu?
Generasi sahabat yang dipimpin oleh Madrasah Rasul yang agung adalah generasi manusia yang kaya raya dan mulia.
Siapa Usman bin Affan?
Siapa Abdul Rahman bin Auf?
Siapa Mus’ab ibn Umair dan ramai lagi?
Tidak lain dan tidak bukan mereka adalah billionaire yang mulia bukan sahaja di sisi manusia, bahkan mereka juga mulia di sisi Allah. 1400 tahun sudah mereka meniggalkan kita.

Ayuh hidupkan kembali generasi itu kerana andai mereka boleh, kenapa kita tidak?

Ulasan

Catatan Popular